...

Pencerahan asas tentang hakikat-hakikat kehidupan . Semoga 'dunia' tidak ada pada hati kita tetapi ada di tangan kita. Semoga kecintaan pada dunia yang membawa kepada sifat-sifat negatif seperti tamakkan harta, kedekut untuk bersedekah, suka bermewah-mewah, tiada dalam hati kita. Semoga kecintaan pada Akhirat sahaja yang ada.. Di sana ada semua yang jauh lebih hebat dari di dunia.. Dunia sebaliknya diharap berada di tangan kita sahaja, bermaksud kita berkuasa mengawal dunia, kita memerintah dunia dengan keadilan, supaya syariat Islam yang membawa kesejahteraan tertegak. Bukan memerintah dunia sepertimana yang biasa berlaku, memerintah kerana inginkan kekayaan, kekuasaan dan kemasyhuran sehingga menindas yg lain... Wahai Kekasih-kekasih Allah.. Esok, risalah kita akan beroleh kedudukan paling tinggi, dakwah kita akan mendapat kemenangan, dan kalimat kita akan terdengar di mana-mana, kerana sesungguhnya Allah bersama kita. Bersemangatlah!

Sunday, March 28, 2010

Sesungguhnya Sesudah Kesulitan Itu Ada Kemudahan


Kesenangan itu,
Kebahagiaan itu,
Akan dicapai..
Tatkala tumbuhan mengeluarkan pucuknya,
Tatkala pokok menghasilkan buahnya,
Tatkala Mukmin bertemu Tuhannya...


Kau akan mendapat imbuhan,
Kau akan mendapat imbalan,
Kau akan mendapat balasan atas apa yg kau kerjakan..


Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
(al-Insyiraah: 5-6)

Wednesday, March 17, 2010

Hal Ehwal Riba Dan Sedikit Penjelasan




Ketahuilah bahawa pemakan dan pemberi riba seolah-olah memerangi Allah SWT dan Rasulullah SAW.


Firman Allah SWT :-
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya".
(Al-Baqarah : 278 )


Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya.


Zahir ayat ini juga membayangkan peperangan itu juga berlaku sejak di dunia lagi, amat malanglah bagi seseorang dan pemimpin yang kurang mengambil endah akan hal ini.


Ibn Abbas r.a di riwayatkan berkata :-
“Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat : ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT”
(Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)


Berkatalah Abu Hanifah rh pula : “ Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan” (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)


Imam Malik Bin Anas rh pula berkata :
“Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya” ( Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364 )


Berkata Imam Qatadah rh : “ Allah menjanjikan ahli Riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya dimana sahaja mereka berada” ( at-Tabari, 3/72 )

Bagaimana Jika Telah Terlibat Dengan Bank Konvesional Yang Berteraskan Riba?

Bagi mereka yang tidak berhutang dengan pihak bank, maka boleh sahaja menutup akaun dan terus tukar kepada bank Islamik.


Bagi mereka yang telah terlibat dengan bank konvesional, yakni yang telah berhutang pula, boleh ditukar akaunnya. Allah SWT tidak zalim untuk menyiksa kita atas kesilapan yang tidak disengajakan atau apa yang tidak mampu kita lakukan.


Minta pada pihak bank tersebut. Jika dari bank konvesional, boleh tukar ke bank Islamik, silalah tukar. Tetapi jika tidak dibenarkan, minta tukar kepada akaun Islamik yang ada dalam bank konvesional tersebut. BSN dan Maybank sudah pun membuka akaun Islamik walaupun mereka adalah bank konvesional.


Walaubagaimanapun, mungkin dikenakan bayaran. Contoh: RMlima ribu untuk kos perubahan data dan sebagainya.



Dalam hal ini, pakar kewangan dan perbankan Islam yakni Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (UZAR) mengingatkan bahawa andai RM5000 dapat menyelamatkan kita dari api neraka, mengapa kita tidak melakukannya? Bayar sahaja, insyaAllah niatkan ikhlas kerana mahu mengikut perintahNya. Allah SWT menolong hamba-hambaNya yg ikhlas.

Jangan Salah Tafsir

Ada yang terkeliru apabila baru berjinak-jinak memerhati sistem perbankan di bank-bank Islamik. Cuba perhati betul-betul, biasanya orang terkeliru antara riba dan upah atau perkara-perkara lain. UZAR ada menerangkan hal ini dalam webnya dan Majalah Solusi.


Kata beliau, bank yg 100% Islamik tidak mengenakan riba melainkan masyarakat sendiri yg salah faham mengatakan ia adalah riba.


Upah pada Bank Islamik sebegini memang tinggi sedikit berbanding bank-bank lain kerana untuk menampung modalnya kembali. Bank-bank Islamik ini lebih muda usianya dan baru hendak berkembang berbanding bank-bank konvesional lain.


Kerana itulah, kita perlu mengajak masyarakat agar turut-serta supaya kadar upah dan pembiayaannya dapat dikurangkan. Itu salah satu sebab kecil, sebab atau faktor yang besarnya pastilah utk menghindari riba tersebut.


Bersamalah kita menghindar riba dengan menyokong dan membantu sistem kewangan dan perbankan Islam. Hanya Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja yang dapat membalas usaha baik kita yang ikhlas.

Monday, March 15, 2010

Simpanlah Wang Di Bank Islamik



Sebaiknya jangan simpan duit dalam bank konvesional. Ini kerana duit yang kita simpan tersebut akan dilaburkan ke mana-mana sahaja tempat yang kita tidak tahu sama ada ia patuh syariah atau pun tidak. Jika pihak bank melabur di Genting, maka 'saham' dosa dapat pada kita, nauzubillah.



Simpanlah wang di bank Islamik. Kalau terpaksa sebab orang atasan/ kementerian memang memasukkan wang ke situ, maka bila dapat sahaja, cepat-cepatlah pindahkannya. Kalau boleh, mintalah orang atasan agar urusan kewangan diubah dari bank konvesional kepada bank yang amalkan perbankan Islam.


Janganlah mahu mudah sahaja. Itu silap, sebab jika begitu bermaksud dalam masa yang sama kita menyokong sistem riba secara tidak sedar. Malah, jika pihak bank melabur di Genting, maka secara tidak langsung kita menyokong perjudian, nauzubillah.


Sungguh benarlah sabda Rasulullah :

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لَا يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلَالِ أَمْ مِنْ الْحَرَامِ

Akan tiba suatu masa nanti, manusia (mengaku Islam atau memang kafir) tidak lagi memperdulikan daripada manakah dia mendapatkan harta, apakah dari cara yang halal ataukah dari cara yang haram.
(HR. Bukhari)

Berhati-hatilah...

Ilmu Lebih Penting Daripada Harta


Ilmu Lebih Penting Daripada Harta


Pertama: Ilmu adalah warisan para Nabi, sedangkan harta adalah warisan para raja dan orang-orang kaya.


Kedua: Ilmu akan menjaga pemiliknya, sedangkan pemilik harta menjaga hartanya.


Ketiga: Ilmu adalah penguasa atas harta, sedangkan harta tidak berkuasa atas ilmu.


Keempat: Harta akan habis dengan dibelanjakan, sedangkan ilmu akan bertambah jika diajarkan.


Kelima: Orang yang berilmu diperlukan oleh para raja dan selain mereka, sedangkan pemilik harta hanya diperlukan oleh orang-orang miskin.


Keenam: Harta itu mengajak jiwa kepada bertindak sewenang-wenang dan sombong, sedangkan ilmu mengajaknya untuk rendah hati dan melaksanakan ibadah.


Ketujuh: Ilmu membawa dan menarik jiwa kepada kebahagiaan yang Allah ciptakan untuknya, sedangkan harta adalah penghalang antara jiwa dengan kebahagiaan tersebut.


Kelapan: Kekayaan ilmu lebih mulia daripada kekayaan harta karena kekayaan harta berada di luar hakikat manusia, seandainya harta itu musnah dalam satu malam saja, jadilah ia orang yang miskin, sedangkan kekayaan ilmu tidak dikhawatirkan kefakirannya, bahkan ia akan terus bertambah selamanya (selagi tidak hilang ingatan), pada hakikatnya ia adalah kekayaan yang paling tinggi.


Kesembilan: Mencintai ilmu dan mencarinya dengan ikhlas kerana Allah adalah pokok segala ketaatan, sedangkan cinta dunia dan harta dan mencarinya kerana sifat tersebut adalah pokok segala kesalahan.


Kesepuluh: Nilai orang kaya ada pada hartanya dan nilai orang yang berilmu ada pada ilmunya. Apabila hartanya lenyap, lenyaplah nilainya dan tidak tersisa tanpa nilai, sedangkan orang yang berilmu nilai dirinya tetap langgeng, bahkan nilainya akan terus bertambah.


Kesebelas: Tidaklah satu orang melakukan ketaatan kepada Allah Ta’ala, melainkan dengan ilmu, sedangkan sebagian besar manusia berbuat maksiat kepada Allah lantaran harta mereka.


Kedua belas: Orang yang kaya harta selalu ditemani dengan ketakutan dan kesedihan, ia sedih sebelum mendapatkannya dan merasa takut setelah memperoleh harta, setiap kali hartanya bertambah banyak, bertambah kuat pula rasa takutnya. Sedangkan orang yang kaya ilmu selalu ditemani rasa aman, kebahagiaan, dan kegembiraan.

Monday, March 8, 2010

Menuntut Ilmu Yang Bermanfaat Sebagai Asas Pembangunan Diri & Tamadun Manusia



Banyak dalil yang menunjukkan bahawa menuntut ilmu itu hukumnya wajib, baik yang bersumber dari Al-Qur’an dan hadis Nabi SAW. mahupun dari fatwa ulama, antara lain sebagai berikut:


Allah SWT berfirman dalam Al-Qur’an:
"Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama?"
(At-Taubah:122)


Sekalipun dalam ayat tersebut tidak tampak kata-kata wajibun yang bererti wajib; atau kata-kata faridhatun yang berarti difardukan, tetapi dalam ayat itu terdapat fi’il mudhari’ yang telah kemasukan lamul amr, yakni lafaz liyatafaqqahuu.


Dalam ilmu Ushul Fiqih ada kaedah yang berbunyi:
"Erti yang pokok dalam amr ialah menunjukkan wajib".
(Kitab As-Sullam, halaman 13; dan kitab Ushul Fiqh, halaman 31)


Dengan demikian, ayat di atas mengandungi erti bahawa menuntut ilmu itu hukumnya wajib.


Rasulullah SAW., bersabda:
“Menuntut ilmu itu diwajibkan bagi setiap orang Islam”
(Riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi, Ibnu Abdil Barr, dan Ibnu Adi, dari Anas bin Malik)


Tamadun Islam terbangun atas sebab ajaran Islam itu sendiri yang bersifat maju dan proaktif. Islam mewajibkan penganutnya menuntut ilmu selaras dengan maksud penurunan wahyu pertama.

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan"
(Al-'Alaq: 1)


Maka, perbetul dan sebarkanlah kefahaman bahawa Islam sebenar sudah cukup, tidak perlu lagi ajaran yang bukan-bukan seperti "Islam Hadhari" yang disebut-sebut ketika zaman pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tuesday, March 2, 2010

Bagaimana Dunia Mahu Aman?


Dunia ini masih belum aman... Yakah masih belum aman? Jika ini kenyataannya, maka ia akan aman sepenuhnya suatu masa nanti. Benarkah? Atau dunia ini memang tidak akan pernah aman?


Telah diriwayatkan yang sanadnya dari Ashim bin Bahdalah dari Zirrin dari Abdullah, dia telah berkata : Telah bersabda Rasulullah Saww : "Dunia tidak akan lenyap sampai seorang lelaki dari Ahli-baitku yang namanya sama denganku menguasai bangsa Arab,"
(HR At-Tirmidzi 2 : 36 cet. Bulaq).


"Tidak akan terjadi saat (kiamat) hingga berkuasa seorang lelaki dari Ahli-Baitku yang namanya sama dengan namaku,"
(Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal 1 : 376).


Sabdanya, "Akan tampil seorang lelaki dari Ahli-baitku yang namanya sama dengan namaku dan perawakannya menyerupai perawakanku lalu ia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kebenaran sebagaimana sebelumnya bumi ini telah diliputi kezaliman dan kesesatan," (Hadis ini telah dikeluarkan oleh Ath-Thabrani dari Ibnu Mas’ud, Kanz Al-Ummal 7 : 188).


Dari Hudzaifah, "Sesungguhnya Nabi Saww telah bersabda,"Seandainya usia dunia tinggal satu hari lagi, niscaya Allah akan memperpanjang hari itu sampai Dia membangkitkan seorang lelaki dari (keturunan) anakku yang namanya seperti namaku". Salman berkata, "Dari anakmu yang mana, wahai Rasulullah ?" Beliau bersabda, "Dari keturunan anakku ini, " sambil beliau menepukkan tangannya kepada Al-Husain as
(Dakhair Al-‘Uqba).


Melalui sabdaan Rasulullah, dunia pasti akan aman apabila diperintah oleh Imam al-Mahdi. Namun, Imam Mahdi bukan untuk ditunggu. Takkanlah kita hanya berpeluk tubuh menanti kehadirannya...Dunia ini akan aman apabila keadilan terlaksana sepenuhnya. Namun, keadilan tidak akan terlaksana jika kaum Muslimin tidak kembali melakukan tugasnya. Tugas Muslim adalah menjalankan sepenuhnya ajaran-ajaran agama.

Apakah Ajaran-Ajaran Islam?

Ajaran agama Islam adalah lengkap. Ia bukannya seperti agama Kristian yang beribadat seperti rahib sebaliknya punyai ibadah ritual yang berhubung dengan Allah dan ibadah yang menjalinkan hubungan dengan manusia untuk berbakti pada Allah.


Ajaran agama yang banyak ditinggalkan adalah amar ma'ruf nahi mungkar, sistem pentadbiran (politik) dan ekonomi Islam. Ajaran agama yang banyak ditinggalkan ini juga patut diseru kepada semua manusia. Manusia perlu diajak untuk mengamalkan sistem-sitem/ ajaran-ajaran Islam ini supaya dapat meraih redha Allah dan dunia kembali aman.

Sesungguhnya tugas mengaman dan mengharmonikan dunia terletak pada kita. Kitalah khalifah. Kita bukan dicipta untuk tugasan yang sia-sia.


Kaum Muslimin tidak patut lena lagi. Kaum Muslimin tidak seharusnya berlari ke arah yang lain lagi. Kaum Muslimin tidak sewajarnya mengikuti jejak Yahudi dan Nasrani yang telah diberi amaran oleh Nabi.


Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. ..
(al-Baqarah:120)

Sudah Masuk Fasa Ketiga Perancangan Dajjal?

Jika menggunakan teori sains politik yang biasa, sukar untuk memahami akan kaitan US yang seolah menyerahkan segalanya kepada Israel. Namun penelitian yang dibuat mengemukakan teori bahawa semuanya dirancang oleh The False Messiah yakni Dajjal, pemerintah yang disanjung golongan 'elit' sejak sekian lama.


Tidak ditemui teori politik yg bersesuaian kerana teori yang diambil dari Barat ini sesetengahnya mungkin benar namun pastinya tidak tepat sepenuhnya kerana tidak merujuk panduan terulung. Teori Dajjal ini hanya didapati apabila kita merujuk kepada panduan teragung yakni al-Quran dan as-Sunnah.


Dunia Hanya Sementara, Fokuslah Pada Akhirat


Tidak perlulah bersungguh-sungguh dalam hal yang kurang membawa manfaat untuk Akhirat... Kenal pasti keutamaan. Dunia ini sementara, fokus pada Akhirat dengan cara dan kefahaman yang benar, maka dunia juga akan datang kepada kita. Yang menjadi masalah, jika fokus pada Akhirat tetapi dengan cara yang kurang tepat..


"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui".
(al-Ankabuut: 64)

Melabur Di Jalan Allah Adalah Sebaik-Baik Pelaburan


Saya duduk di meja guru yang telah meninggal dunia dua tahun lepas. Buku-buku, sijil dan pelbagai barang milik Allahyarham masih belum dikemas dan tidak pula di bawa masuk ke kubur. Yang dibawa hanyalah amalan-amalan Soleh. Apa guna harta bertimbun, pangkat besar dan punyai pengaruh yang kuat jika ia tidak digunakan di jalan Allah.? Ia hanya akan menjadi bebanan di Akhirat. Nauzubillah..


Jika punyai semua itu (harta, pangkat, kuasa dan pengaruh), jangan pula dibenci & dibuang sebaliknya gunakan dengan tepat agar manfaatnya diperoleh kita juga..


Sebaik-baik jual-beli dan pelaburan ialah dengan menggunakan kesemua yg kita miliki tersebut ke jalan Allah. Allah akan menggandakan antara 10-700 kali ganda. Malah tidak mustahil untuk lebih dari itu.. Maha Suci Allah yang punyai segala kekuasaan dan kehebatan...


"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur'an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong".
(al-Hajj: 78)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...