...

Pencerahan asas tentang hakikat-hakikat kehidupan . Semoga 'dunia' tidak ada pada hati kita tetapi ada di tangan kita. Semoga kecintaan pada dunia yang membawa kepada sifat-sifat negatif seperti tamakkan harta, kedekut untuk bersedekah, suka bermewah-mewah, tiada dalam hati kita. Semoga kecintaan pada Akhirat sahaja yang ada.. Di sana ada semua yang jauh lebih hebat dari di dunia.. Dunia sebaliknya diharap berada di tangan kita sahaja, bermaksud kita berkuasa mengawal dunia, kita memerintah dunia dengan keadilan, supaya syariat Islam yang membawa kesejahteraan tertegak. Bukan memerintah dunia sepertimana yang biasa berlaku, memerintah kerana inginkan kekayaan, kekuasaan dan kemasyhuran sehingga menindas yg lain... Wahai Kekasih-kekasih Allah.. Esok, risalah kita akan beroleh kedudukan paling tinggi, dakwah kita akan mendapat kemenangan, dan kalimat kita akan terdengar di mana-mana, kerana sesungguhnya Allah bersama kita. Bersemangatlah!

Wednesday, November 18, 2009

Masa Yang Cepat Berlalu Seakan Mimpi


Dahulu aku hanya kanak-kanak kecil,
Aku berlari-lari anak dengan puting susu yang melekat di mulut,
Aku terjatuh, menangis dan emaklah yang mengangkatku dan menenangkanku..


Aku pulang dari sekolah bersama rakan,
Berbasikal membawa Quran dan buku-buku,
Berjanji untuk turun sebentar nanti,
Bersama rakan bermain ‘polis-sentri’..


Menara gading,, tempat tumpuan aku,
Tempat menimba ilmu dan membina jati diri,
Di sini ku temui permata hati,
Di sini ku merancang kehidupan bersama bakal isteri..


Aku berceloteh tanpa jemu,
Memberi ilmu dan panduan buat generasi baru,
Dengan celotehku, anak-anak menjadi doktor, jurutera dan juga guru..


Kini, aku menghadapi hari-hari akhir kehidupanku,
Aku merasainya, aku menyedarinya..
Walaupun seperti baru semalam aku didodoi emak di buaian,
Namun itu hanyalah khalayan..


Masa memang berlalu dengan begitu cepat dan pantas,
Aku yang kini bukan seperti aku enam puluh tahun dahulu,
Aku yang kini menghadapi saat-saat kematian,
Aku yang kini sedang menghadapi saat-saat pertukaran..


Dari dunia, aku akan ke alam barzakah,
Dari alam barzakh, aku akan ke alam akhirat..


Sehebat mana pun aku,
Setampan mana pun wajahku,
Secantik mana pun isteriku,
Sebanyak mana pun hartaku,
Aku tetap akan mati dan dihisab…


Sebesar mana pun rumahku,
Seindah mana pun tamanku,
Sekebal mana pun keretaku,
Ia tidak bermakna jika tidak digunakan selari dengan kehendak Tuhanku..


Wahai anak,.
Tidak perlu untuk engkau bermewah-mewahan di dunia ini,
Tidak perlu menanamkan kecintaan kepada harta jika gunanya hanya untuk berfoya-foya,
Cukuplah sekadar mengambil bahagianmu yang telah ditetapkan Allah..


Tempat tinggalmu bukannya di sini,
Tempat tinggalmu di sana..
Nun di syurga nan indah..


Engkau harus menetapkan pendirianmu,
Mengukuhkan peganganmu,
Memantapkan jati dirimu.


Engkau adalah anak Adam alaihissalam,
Kampung halamanmu adalah di syurga!


Jangan diturut kata iblis..
Jangan diikut telunjuk nafsu..
Kelak kau binasa bersama mereka..


Anakku,.


Kau harus ingat,
Kau tidak perlu menjadi seusiaku untuk menempuh situasi sebegini,
Mungkin esok atau lusa,.
Kau juga akan mati..


Jangan bertangguh lagi duhai anak..
Bertaubatlah atas kesalahan yang kau sedari dan tidak kau sedari,
Lakukan amal-amal soleh dengan seikhlas mungkin,
Dan jangan melakukan sebarang maksiat pun barang termampu..


Wahai anak kesayanganku,
Ingatlah pesan ayahmu ini..


Berpandulah dengan al-Quran,.
Berpaksikanlah pada as-Sunnah..
Kelak hidupmu selamat,
Bahagia dunia akhirat..

Salam terakhir….

‘SETIAP YANG BERNYAWA PASTI AKAN MERASAI MATI’
(inspirasi dari Bob Dylan dan peristiwa berlalunya semester enam sebentar tadi..)

Monday, November 16, 2009

Tujuan Manusia Diciptakan



MENGUJI SIAPA YANG LEBIH BAIK AMALNYA


Hidup yang sementara ini adalah suatu medan ujian buat semua manusia dan jin. Manusia dan jin adalah makhluk Allah yang diuji dengan pelbagai ujian untuk membuktikan siapa di antara mereka yang merupakan hamba Allah yang terbaik.


Maha Suci Allah Yang di tangan-Nya lah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
(al-Mulk: 1-2)



Allah SWT tidak mengatakan: “siapa yang labih banyak amalannya, tetapi siapa yang lebih baik amalannya”. Ini mengajar kita agar melakukan amalan-amalan soleh yang baik dan banyak manfaat kepada diri dan orang lain. Kualiti amalan yang bertunjangkan keikhlasan adalah lebih baik dari amalan yang dilakukan dengan banyak tetapi dipenuhi riyak, mahu dipuji, ujub, sombong, takbur dan lain-lain.

MENJADI KHALIFAH

Allah telah menciptakan kita sebagai khalifah di muka bumi.

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".
(al-Baqarah:30)


Imam al-Mawardi menyatakan peranan khalifah adalah:-
“Menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama”.




Adakah kita sudah berjaya menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama Islam ini? Tidak bukan.. Masih terdapat lagi orang-orang jahil dan orang-orang yang bersifat munafiq menjadi batu penghalang kepada kita. Jadi, tidak perlulah untuk kita berasa sombong kepada Allah. Dalam keadaan kita masih tidak memenuhi kehendakNya pun, Allah masih lagi memberikan kita nikmat yang banyak.


Allah telah jadikan kita langit yang tidak tumbang menghempap, adakah kita bersyukur? Allah telah jadikan bumi terbentang luas untuk kita berjalan dan melihat kebesaran Allah, adakah kita sudah memerhatikan kebesaran Allah dengan hati yang benar-benar jernih? Adakah kita telah mengambil pelajaran dengan sebaik-sebaiknya? Bagaimana pula dengan nikmat-nikmat yang lain? Sungguh tidak terkira banyaknya, namun jarang sekali kita bersyukur,astaghfirullah..

BERIBADAH

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.
(adz-Dzariyat:56)



Satu lagi tujuan kita diciptakan ialah untuk beribadah kepadaNya. Dia yakni Allah SWT mencipta kita dengan tujuan kita melakukan ibadah dengan sebaik mungkin dan mengelak dari melakukan maksiat kemungkaran dengan sesungguh mungkin.


Ibadah terbahagi kepada dua. Satu umum dan satu lagi ialah ibadah khusus. Ibadah khusus adalah yang diwajibkan seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan lain-lain. Sementara itu, kita boleh membuktikan kita adalah antara hamba Allah yang terbaik dengan menambahkan kualiti hidup kita dengan melakukan ibadah-ibadah umum seperti bekerja mencari nafkah, mancari dan menyebarkan ilmu bermanfaat, membantu anak-anak yatim dan lain-lain. Semua perkara boleh dikira sebagai ibadah jika kita memenuhi tiga syarat ini:-

1) Berakidah sahih; yakni Muslim yang berada dalam golongan ahli Sunnah wal Jamaah.
2) Perkara yang kita ingin lakukan menjadi ibadah umum tersebut tidak bertentangan dengan syariat Islam seperti membunuh tanpa hak, mencabul kehormatan dan lain-lain.
3) Diniatkan ikhlas kerana Allah SWT semata-semata.


Semoga apa yang aku sampaikan ini dapat dimanfaatkan oleh kita semua. Bersyukurlah kita dengan segala nikmat dan selamat menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dengan beribadah khusus dan umum sehingga menjadi hamba Allah yang terbaik semampu kita. Beringat dan ambillah tindakan bijak sebelum Izrael datang menjemput...

Friday, November 6, 2009

Dialog Dengan Penyokong UMNO (Isu Kepentingan Politik Dalam Islam)




Aku: Jelas sungguh kerosakan halatuju UMNO.. takutlah pada Allah..


Penyokong Umno: hehehehe saling memperingati tdk salah.. yg salah apa bila saling mengutuk.. sama2 dpt dosa.


Aku: Satu yg perlu kita tahu, org yg jelas tak mahu dasar Islam lebih berpeluang masuk neraka... sama2lah kita takut pada Allah..

RUKUN ISLAM PERTAMA

Penyokong UMNO: Asas adalah rukun Islam n rukun Iman... slagi ada dlm hati 2 rukun tu insyaallah... jgn mempolitikan agama... agama n politik mmg tak bolih dipisahkan.. tp jgn la mempolitikan agama... dua benda berbeza tu. kekadang taya apa rukun Iman yg ke tiga pon ada gak yg takleh nk jawab.


Aku: Ok, sekarang jelaskan rukun islam yg pertama. Apa maksudnya?


Penyokong UMNO: perghhhh jarir suh aku jd ustaz lak dh... kekekekeke..
baik aku ngaku aku takde la sehebat mana pon n bukan bidang aku pon tuk perdetailkan makna... tak smpai tahap tu pembelajaran agama aku sekadar dpt pelajar terbaik je kt sekolah agama rendah hehheeheheh... cukup la asas sentiasa ada dlm hati aku.... nk cite makna ni nnt aku g masuk Al-Azhar dulu lah... insyaallah...


Aku: Kepercayaan kepada Tuhan dan Nabi Muhammad membawa kita untuk melakukan segala perintahNya dan mejauhi segala larangannya. Jadi, dalam Islam, jika kita kata kita melepasi rukun Islam yg pertma ni, kita hendaklah yakin dgn apa yg dibawa Nabi.

Nabi bukan sekadar bawa solat. Nabi bukan sekadar bawa puasa, zakat dan haji. Nabi bawa panduan dalam segala urusan kehidupan. Jadi, sesiapa yg claim diri dia lepas rukun Islam yg pertama, dia kena yakin dan amalkan semampu mungkin segala panduan tersebut.

Ada panduan dalam menangani jenayah yakni hukum hudud, qisas dan takzir. kata percaya kat Allah dan Rasul, jadi nak taknak kenala yakin dgn keberkesanan undang2 Allah ni, baru betul rukun Islam kita.

So, UMNO kenala laksanakan syariah Islam sepenuhnya...ok?




KELANTAN SERAMBI MAKKAH


Penyokong UMNO: Jadi negeri2 yg dikuasai Islam harusla menjadi model ikutan dulu.... politik ni bukan bercakap je tp ikutan... bila mampu lakukan... sokongan insyaallah tiada berbelah bg nya lah... tp.... syggggggggggggg... ikutan tak power sbb model tak power... sedangkan rakyat2 dari negeri2 model ni pon merantau dlm keadaan rosak2 belaka. (Penyokong UMNO ni cuba menjatuhkan kredibiliti Kelantan)


Aku: Yes, apa yg dikatakan tu betul. Kelantan dlm proses menjadi negeri Islam. Pastinya ia tak mampu menandingi Madinah al-Munawwarah zaman Nabi dalam keadaan terikat dgn federal. Undang2 syariah tak mampu dilaksanakan dgn sepenuhnya di sana, faktor2 luar yg merosakkan turut mendominasi Kelantan.Ini antara lain merupakan penyebab rakyat dari sana kdgkala dilihat masih belum spt apa yg kita harapkan.

Jadi, unsur2 yg menghalang ni yg cuba 'dialihkan' oleh PAS. Nabi juga pernah melalui tahun2 getir dalam pembinaan msyrkt Islam. Walaubagaimanapun, sbg Nabi dan tokoh yg bijaksana baginda mampu melaksanakannya dlm masa 23 tahun. Kita yg masih serba kekurangan ni pastinya mengmbil masa yg lebih lama. Namun itu tak mustahil. Islam pasti akan menang suatu hari nanti.insyaAllah

BIAH ISLAMIYYAH

Penyokong UMNO: yup... tu mmg dijanjikan... Islam akan menang... bukan saja di Malaysia tp seluruh dunia... rakyat mana pon sama je... tak kira la dari mana... yg penting pegangan agama masing2.. sbb tu aku kata agama jgn di politikan... n jgn juga memisahkan agama n politik.


Aku: Pada asalnya manusia memang sama tapi tidak pd akhirnya,, yg membentuk manusia ada dua. Yang pertama: gen. Kedua, biah (persekitaran) nya. Biah ni termasuklah apa yang dipelajari, dgn siapa dia berhubung, sampai mana tahap ilmunya, apa yg dimakan shgga mempengaruhi kesihatannya etc..

Jika persekitaran kita teruk dan kita tak dapat ilmu agama kebiasaannya kita akan rosak. Sebab itu kita kena belajar ilmu agama dan amalkannya, malah yg berkemampuan perlu menyebarkannya. ini supaya biah islamiyyah terbentuk, dan mengelakkan msyrkt menjadi rosak.

Biah islamiyyah hanya dpt terbentuk dengan betul2 baik apabila pemimpin adalah pemimpin yg bertaqwa, pemimpin yg mempunyai ilmu agama. Pemimpin akan mengajar dan mengajak rakyat menjadi hamba2 Allah yang baik. Pemimpin tersebut juga akan mentadbir dan memelihara negara atau negerinya daripada benda2 yg merosakkan. Itulah siasah. Itulah kepentingan politik Islam. Politik Islam gunanya untuk menjaga dan menegakkan syariat Allah.



Penyokong UMNO: k nnt calonkan diri tuk ngundi... aku pangkah ko hahahahaha... semuanya terletak le kepada pengundi... undi kuasa memerintah nnt.. nk Islam atao Ala2 islam atao tdk islam langsung.


Aku: Jgn cakap je.. (aku sengaja memendekkan perbualan kerana hampir tiba waktu Zohor)


Penyokong UMNO: k k tak ckp je... walk n talk kekekekeke... undi aku sorang bkn dpt ngubah apa2 pon hahahahah


Aku: Kerja kita sebarkan kebenaran.. Umat Nabi Muhammad jadi umat terbaik apabila beriman dan lakukan amar makruf dan nahi mungkar. Sebarkanlah apa yg telah aku katakan td.. Sebar kebenaran dgn ikhlas dpt pahala..insyaAllah..

(Tiada komen balas selepas itu)

Wednesday, November 4, 2009

Aku Politician?


-Ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, Perak vs Kedah-

POLITICIAN


“Siapa Jarir tu?”, aku bertanya kepada seorang rakan untuk mengujinya samada dia kenal atau tidak jika aku menggunakan nama samaran di Facebook.


“Budak yang obses politik”. Fuhh.. begitulah pengenalan ringkas tentang siapa aku oleh seorang kenalan. Dia berkata dengan begitu telus kerana kami sememangnya kenalan yang agak rapat sejak mula menjejakkan kaki ke institut ini lagi.

Perkenalan kami menjadi semakin rapat semenjak kami terpilih untuk sama2 mewakili institut dalam pertandingan bola sepak suatu masa dahulu. Kami berkongsi minat yang sama iaitu ‘bola’ walaupun karakter kami sedikit berbeza. Aku yang dikatakan terlebih ‘cerewet’ hanya berbual santai ketika bertemu dengannya..



Aku turut digelar ‘politician’ oleh sesetengah rakan lain kerana kerap bercerita tentang Islam dan situasi politik semasa, apatah lagi aku mempunyai jaket korporat yang tertera logo ‘Pakatan Rakyat’.


Adakah benar aku politician?

SAINTIS

Pada suatu ketika yang lain, ketika hampir kesemua pelajar tidak dapat menjawab persoalan tentang kenyataan kaitan sains dengan pengukuran yang digabungjalinkan dengan subjek seni, aku memberikan jawapanku kepada pensyarah.. Pensyarah hanya mengangguk-angguk. Tak lama kemudian, aku digelar pula sebagai saintis.


Kenapa mudah melabel manusia? Kalau sekadar saintis tidak mengapa, tetapi apabila label tersebut adalah label yang menjauhkan manusia lain dari kita, ia bukanlah suatu perkara yang menyenangkan..

PEMBELA KEBENARAN


Aku bukanlah seorang saintis. Aku juga bukan seorang ahli politik. Tetapi aku yang mengaku sebagai Muslim, perlu bertindak seperti seorang Muslim. Seorang Muslim adalah pembela kebenaran. Seorang Muslim adalah pelaksana ‘amar ma’ruf nahi mungkar’.


Aku mengambil tahu hal politik kerana:-

1. Aku ingin menjadi Muslim yang baik. Muslim yang baik mampu menjaga diri, keluarga dan masyarakat di sekelilingnya daripada sesuatu perkara yang tidak elok dan merosakkan seperti pelanggaran hukum syariah. Siasah itulah yang menjaga agama (secara Sunnatullahnya). Justeru, jika sayangkan Islam, ambil perhatian serius dalam siasah (politik/pentadbiran).


2. Aku ingin berjasa kepada umat dengan mengajak mereka kepada kebenaran. Jika diteliti, parti yang benar pada dasar parti dan perlaksanaannya adalah lebih memihak pada PAS. Aku sudah muak dengan pembohongan dan kekeliruan yang ditimbulkan media seperti Utusan Meloya, Berita Hairan dan TV3suku.. kini saatnya aku membantu menyebarkan kebenaran untuk menumbangkan kebatilan yang dibawa media. Dasar UMNO yang sungguh jijik kerana langsung tidak menyebut tentang al-Quran (sedangkan al-Quran adalah petunjuk bagi semua manusia), apatah lagi ditambah dengan tindakan2 jelik yang dilakukan mereka menaikkan lagi semangat aku untuk mengajak manusia kepada Parti Islam.

“Aku tinggalkan untuk kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama berpegangan dengannya, yaitu Kitabullah (Al Qur'an) dan sunnah Rasulullah SAW”.
(HR. Muslim)



3. Aku ingin menjadi mereka yang tergolong dalam golongan Mujahidin. Di Malaysia, selain jihad menentang hawa nafsu, kita juga dituntut untuk melakukan jihad untuk menumbangkan kefahaman, pemikiran, ucapan dan tindakan2 batil, songsang dan terkeluar dari landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman Syiah, sekular, liberal dan lain2. Siapa yang ada kemampuan untuk berjihad, tetapi tidak melaksanakannya pasti akan rugi..

Manusia yang paling dekat darjatnya kepada darjat kenabian ialah para mujahidin dan ilmuwan (cendekiawan) karena kaum mujahidin melaksanakan ajaran para rasul dan ilmuwan membimbing manusia untuk melaksanakan ajaran nabi-nabi”.
(HR. Ad-Dailami)



4. Aku mahukan sistem Islam yang sempurna dan menyeluruh seperti yang terbina di Madinah kembali terbina di dunia ini. Untuk itu, penglibatan kaum Muslimin dalam bidang politik amat diperlukan. Berpihaklah kepada yang benar dan islahkan mereka yang tersilap jalan.

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya".
(al-Maiidah:2)

Dasar Pentadbiran UMNO Cacat

DASAR SEKULAR

Sebentar tadi, aku berada di kuliah ekonomi. Kami mengulangkaji tentang dasar2 yang dibuat kerajaan selepas merdeka sehingga ke tahun 1995. Apa yang mendukacitakan aku, dasar kerajaan yakni BN disokong secara membuta-tuli tanpa melalui penilaian yang rapi. Mungkin dasarnya kelihatan bagus, walaupun sebenarnya pada permulaan perancangan dasar sudah mengalami masalah. Sentimen perkauman yang wujud ketika permulaan perancangan dasar sudah menghilangkan barakah pada dasar tersebut. Ini ditambah lagi keadaan mereka yang seolah-olah melupakan kewajipan mengingati Allah pada setiap masa dengan mengelakkan ekonomi daripada dikaitkan dengan kewajipan sebagai khalifah Allah memberi keadilan dan kesaksamaan pada makhlukNya. Inilah sifat sekular.


Bagaimana pula dengan perlaksanaannya? Dasar-dasar ini seperti DEB sememangnya diakui tidak berjaya. Mungkinkah rasuah dan penyelewengan mempengaruhi ketidakjayaan itu? Peratusnya untuk wujud memang ada memandangkan UMNO sudah terkenal dengan perangai dan sikap yang tidak senonoh sebegitu.. apapun, Allah Lebih Mengetahui.. takutlah kepada Allah.. seandainya rasuah dan lain2 tidak terbongkar di dunia, siapa yang dapat menjamin ia tidak akan terbongkar di akhirat? Hanya Allah tempat berharap…


Aku cukup dukacita kerana mereka diberi pujian oleh pembentang kajian sebentar tadi dan mendapat pula tepukan yang gemuruh. Tambah menyakitkan hati, terdengar pula suara-suara sumbang lain di belakang yang memuji dan menyatakan sokongan…

TIDAK BERPAKSIKAN ISLAM

Apa yang dibanggakan dengan dasar ekonomi dan dasar pentadbiran BN (termasuk undang2, pendidikan dan lain2)??


Dasar BN mungkin bagus dari beberapa segi, namun apabila tidak disandarkan pada Islam, tidak mengikut sistem Islam, maka akan wujudlah cacat-celanya..
siapa nak anak cacat sila turun tangan!! Nauzubillah.. mestilah kita taknak. Jadi, kenapa berkiblatkan Barat dalam mentadbir negara? Dalam bidang ekonomi, mengapa hanya membangunkan pembangunan fizikal semata-mata? Orang2 tua di kampong pun ‘dibeli’ undi mereka dengan duit, beras, mangkuk tandas dan pelbagai yang seerti dengannya. Ini tidaklah salah, tapi apa yang UMNO/BN lakukan ini tidak seimbang!



Pembangunan bukan hanya pada fizikal semata-mata. Pandangan tersebut adalah pandangan dari Barat yang bersifat sempit dan jumud kerana mereka tidak mempercayai akhirat. Golongan sebeginikah yang UMNO jadikan Tok Guru??

ISLAM SUKU, POLITIK SUKU, EKONOMI SUKU...


Mana usaha2 UMNO untuk mewujudkan sistem Islam secara sempurna dan menyeluruh? Setakat anjurkan tilawah tak cukup… cuba buat pertandingan tafsir Quran. Apa tafsiran mengenai ayat Hudud dan Qisas? Jelas bagi kita, Islam yang dibawa UMNO tidak sempurna. Islam yang dibawa mereka seperti kata TG Nik Aziz ialah Islam suku, politik suku..


Kemudian ada pulak yang tubuhkan Islam Hadhari.. apa kes ni tokwan? Islam jenis baru ke?? Kalau Hadharah Islamiyyah, bolehlah aku terima… Islam yang tulen memang mengajar penganutnya bersungguh-sugguh dalam bekerja supaya semakin maju, yakni dalam pekerjaan yg haq sepeti berdakwah, buat masjid, merawat pesakit tetapi bukan dalam kerja batil seperti mengajak orang berjuang atas dasar kaum sahaja macam yg UMNO buat. Islam mengajar kita adil kepada semua kaum!


Berbalik kepada isu tadi, sepertimana Islam yang dibawa secara sebahagiannya sahaja, dalam menilai kemajuan juga, UMNO melakukan perkara yang sama. Jadi, tak perlu sanjung UMNO dan BN ni.. Mereka menilai pembangunan secara fizikal sahaja, sedangkan pengetahuan dan pengamalan Islam (pembangunan ilmu agama dan kerohanian) dalam masyarakat malah keluarga sendiri tak diberi pemantauan yang berkesan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa…


Inilah hakikatnya. Bentang bajet ekonomi macam bagus… tapi aku tak dengar pulak rancangan kerajaan dalam meningkatkan usaha dakwah dan tarbiyyah kepada Muslim dan non-Muslim. Setakat hantar duit kat Jabatan Agama, tu tak banyak membantu la tokwan kalau korang pun menghina Hudud, taknak pinda perlembagaan yang karut tu,.. sanggup lagi korang taat pada Lord Reid dalam perundangan berbanding Allah?? Sanggup korang berkiblatkan Perlembagaan yang dalamnya ada statement yang membuatkan undang syariah tidak terlaksana dengan sempurna?? Muslim lagikah kalian??


Inilah yang selalu diperingatkan oleh Tuan Guru Nik Aziz. TG Nik Aziz memberi amaran aqidah kita boleh tercalar atau rosak jika mengikut pemikiran dan tindakan UMNO yang begitu sekular di samping cuba menghina institusi dan ahli2 agama secara tersirat.


Jauhilah UMNO ni, tipu rakyat dengan pembangunan je, tak seimbang pula tu. Ingat, bukan UMNO/BN je boleh membangunkan negara. PAS mahupun Pakatan Rakyat mempu melaksanakannya dengan lebih baik dengan izin Allah. Mari memberi sokongan kepada PAS. Pembangunan seimbang, fizikal dan rohani… PAS 4 All… kini masa membuat perubahan untuk rakyat!!

Bangkitlah Pemuda Menentang Kebatilan.



REALITI SEMASA

“Kenapa perlu mengambil tahu politik? Hal-hal yang tak berguna.. hal-hal orang gila kuasa.. baik aku layan muzik.. dengar kata penyayi pujaan aku dah keluar album baru..”


Begitulah episod hambar perjalanan hidup seorang anak muda yang tertinggal dari medan tarbiyyah.. sungguh kasihan.. setiap detik kehidupannya berlalu tanpa mampu dimanfaatkannya sebaik mungkin sedangkan dia mempunyai tenaga dan keupayaan yang besar untuk berbakti kepada umat Islam... ini sungguh dikesalkan. Ini baru contoh menyia-nyiakan waktu, seandainya dinukil akan pelbagai kes jenayah yang berlaku, mungkin penulisan ini akan menjadi terlalu panjang.

SISTEM PENDIDIKAN NEGARA


Dari mana kesilapan ini berlaku? Puncanya memang cukup banyak.. Kerajaan BN/UMNO? Yes… memang mereka ada salahnya.. beria-ia konon mahu mewujudkan ‘modal insan’.. namun lihat apa yang mereka hasilkan??


Us Azhar Idrus pernah mengemukakan persoalan ini.. Katanya, yang terlibat dalam pelbagai masalah sosial dan jenayah ialah mereka yang tidak berpendidikan atau yang berpendidikan mengikut dasar kebangsaan yang digubal Kementerian Pelajaran.


Sementara itu, jarang pula mereka yang belajar agama tulen yakni dari pusat2 tarbiyah yang tidak mampu diganggu UMNO seperti pengajian pondok2 melakukan jenayah. Begitu juga dengan mereka yang mendapat pendidikan agama dari pusat tarbiyah yang lain.. kalau ada kes2 yang berlaku, ia adalah kes terpencil. Mempunyai nisbah yang kecil berbanding mereka yang bersekolah di Sek Men Kebangsaan..


Ini bukan hal memperlekehkan sekolah terbabit tetapi aku ingin menyatakan bahawa kurikulum pendidikan yang tidak bersandarkan atau berpaksikan agama Islam pasti akan goyah. Pasti akan bergoncang. Pasti akan roboh seperti tanda-tanda yang telah kita lihat sekarang. Satu subjek yang bernama Pendidikan Islam di sekolah tak mampu 'melawan' banyak subjek lain yang bersifat sekular!


Sistem pendidikan yang sempurna adalah sistem pendidikan yang berteraskan kepada Pencipta Segala Sesuatu. Jika kita solat untuk menyembah Allah, sujud hanya berpaksikan Allah, mengapa kita tidak melakukan perkara yang serupa dalam sistem pendidikan? Mengapa kita berpaksikan pada dasar yang tidak sempurna, yang ada cacat-celanya? Mengapa kita mengaku beriman kepada Allah, bersolat namun tidak mahu menjalankan sistem pendidikan yang berteraskan ketaqwaan kepada Allah?

KEPINCANGAN PENGAMALAN ISLAM

Kalau kita sebagai rakyat yang beragama Islam, mengapa kita masih berdiam diri sedangkan Allah menyuruh kita menyatakan kebanaran? Allah menyuruh kita berjihad dan Allah juga menyuruh kita untuk menyembah dengan sebenar-benarnya, bukan hanya separuh2 seperti dalam hal solat dan zakat sahaja. Yang lain2 seperti sistem pendidikan yang membawa umat kepada Allah, sistem perundangan seperti Hudud ditinggalkan pula..! Ini tidak sepatutnya berlaku.

Firman Allah SWT:-
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus”,
(al-Bayyinah:5)

"Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya.

Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.

Maka bagaimanakah halnya apabila mereka (orang-orang munafik) ditimpa sesuatu musibah disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: "Demi Allah, kami sekali-kali tidak menghendaki selain penyelesaian yang baik dan perdamaian yang sempurna".

Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka. Karena itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.

Dan kami tidak mengutus seseorang rasul, melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah. Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.

(an-Nisa': 60-65)


ISLAM AGAMA SEMPURNA

Melalui dasar pendidikan yang korup, maka akan lahir pula masyarakat yang tidak seperti apa yang Islam harapkan kecuali apabila dia/mereka berinisiatif untuk melakukan pengkajian baru, melakukan penyelidikan tentang ilmu-ilmu lain yang ada dalam dunia ini sehingga dia akan menemui bahawa pelbagai ilmu-ilmu di dunia ini adalah ilmu dari Islam, ringkasnya ia ilmu Allah.

Bukankah Allah telah meredhai Islam sebagai agama bagi semua manusia? Lantas, tidak mungkin Allah yang bersifat Maha Bijaksana meninggalkan atau terlupa meletakkan beberapa elemen dalam Islam itu sendiri!

Islam yang Allah turunkan sebagai agama adalah satu agama yang lengkap. Islam adalah panduan yang sempurna.

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redai Islam itu jadi agama bagimu”.
(al-Maiidah:3)


Allah tidak hanya mengajar manusia agar mengenal Allah lalu bersolat dan berpuasa keranaNya lalu melupakan ilmu dan ajaran-ajaran lain.


Allah turut mejelaskan bagaimana cara mentadbir bumi ini. Kita kan khalifah… Allah ajar kita mentadbir, Allah ajar kita berpolitik cara Islam, Allah ajar kita cara2 muamalat atau ekonomi.. lalu, mengapa kita tidak mengambil apa yang Allah ajar?? Mengapa kita menggunakan ilmu ekonomi dari sudut pandang Barat yang ada riba’? mengapa menggunakan sudut pandang politik Barat yang hanya membangunkan material dan pembangunan semata-mata tetapi mengabaikan sudut rohaniyah macam apa yg UMNO buat.? Nasib baik kita masih tidak mengambil sudut pandang sosial Barat yang menghalalkan zina dan tidak didakwa di mahkamah jika melakukannya secara ‘suka sama suka’!! nauzubillah,…



JIHAD PUNCAK AGAMA

Jangan lupa, ada galakan dari Allah untuk berjihad. Malah dalam beberapa ketika ia menjadi wajib! Siapa yang terbaik sekali untuk berjihad..? Siapa yang mempunyai tenaga yang kuat dan semangat yang tinggi..? Siapa yang mampu meniru kehandalan Khalid al-Walid, Salahudin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fateh..? Jawabnya, pemuda…


Jadi, jihad yang dilakukan untuk menumbangkan kebathilan yang dibawa penguasa, jihad untuk menghancur-luluhkan fahaman sekular, jihad untuk membawa masyarakat kepada parti yang berteraskan Islam adalah ditaklifkan umat kepada para pemuda. Kalau pemuda terus leka dengan AF, Sure Heboh, English Premier League dan isu2 kecil yang bersifat murahan, siapa lagi yang akan menggalas tanggungjawab ini??


Bangkitlah saudara2ku… kurangkanlah daripada melakukan perkara yang sia-sia, ummat sedang bertinggung menanti kepulanganmu membawa berita2 gembira.. mereka mengharapkan kau berjuang… samada kau menang atau syahid, ia tetap satu penghasilan yang baik, pasti menggembirakan Allah dan RasulNya..


“Suatu kaum yang meninggalkan perjuangan akan Allah timpakan kepada mereka azab”. (HR. ath-Thabrani)

“Puncak persoalan adalah Islam. Barangsiapa pasrah diri (masuk Islam) maka dia selamat. Tiangnya Islam adalah solat dan atap (bumbungnya) adalah jihad (perjuangan). Yang dapat mencapainya hanya orang yang paling utama di antara mereka”.
(HR. ath-Thabrani)

Yang aku maksudkan, bukanlah jihad dengan pedang, tetapi jihadlah dengan apa yang relevan dan bersesuaian dengan kebolehan masing2…
“Berjihadlah melawan kaum musyrikin (kebathilan) dengan harta, jiwa dan lidahmu”.
(HR. an-Nasaa'i)

kata Sayyid Abul ‘Ala al-Maududi:-
“Setiap orang yang berusaha untuk meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanyaseperti harta-benda, jiwa-raga, pena (penulisan) dan lidah (ucapan dakwah).”

Sunday, November 1, 2009

Rijal Telah Hilang?

Di bawah ini adalah bait2 indah yang aku temui pada helaian majalah di masjid tempat tinggalku di UK (bukan United Kingdom, tapi Ulu Kinta...) lebih kurang dua tahun lepas. Masjid tersebut menyimpan seribu kenangan bagi kami yang kini sudah berpindah ke tengah kota sebuah bandar di selatan tanah air..

Untaian kata2 di bawah merangsang semangatku untuk menjadi 'Rijal Sejati'. Ia mengobarkan api perjuangan agar aku berusaha menjadi rijal yang dinanti..! Sungguh hatiku merota-ronta untuk menjadi insan sehebat Salahuddin al-Ayyubi, Muhammad al-Fateh mahupun Imam Hasan al-Banna.. Jiwaku terasa semakin menguasai 'aqal untuk menjadikan ia suatu kenyataan apatah lagi setelah mengkhatamkan novel Sultan Salahudin yang cukup hebat karya Abd Latip Talib..



'Kalau bukan aku, aku mahu pastikan anak didikku ataupun keturunanku yang mengembalikan keamanan dan menegakkan keadilan di seluruh dunia termasuk di Palestin, insyaAllah.'
______________________________________________________________________________________

Setiap hari bingkisan dari syurga tiba,
Mengulangi tentang rindunya pada kuntuman rijal,
Mengapa kuntum mekar tidak lagi menghiasi taman?
Di dunia kelopak demi kelopak layu berguguran,
Dimamah deretan anai-anai tribulasi zaman,
Setiap dekad belum lagi manjadi piala perjuangan,
Sebaliknya menjadi takungan air mata,
Yang mengalir di pipi perlahan melihat satu demi satu,
Bolos pada jaring-jaring robek dimakan tikus.

Lukah yang ditanam selama ini tidak lagi seperti semalam,
Jerat yang dipasang juga tidak bingkas,
Setiap kali pulang hanya diburu kesepian,
Di tangah hiruk pikuk mertua dan anak-anak.

Dunia semakin tenat,
Tetapi dentuman sepatu rijal belum lagi kedengaran,
Pulang membawa pesanan yang dikirim,
Umat masih tertinggung di tangga,
Dengan dua tangan menongkat dagu,
Mengintai andainya kelihatan,
Langkah pulang seorang rijal.

Taman syurga semakin riuh dengan bisikan malaikat,
Bisikan ingin tahu yang sungguh-sungguh,
Siapakah tetamu syurga esok hari,
Kerana hari ini dunia mengiklankan kehilangannya,
Di sana-sini pada dinding dan tembok-tembok,
Terpampang pemidang jelas,
Bagi sesiapa yang melintasi dan menatapinya:

'RIJAL TELAH HILANG'.

Mari bangkit saudara2ku..
Mari kita bersatu...
1 Ummah!
Kehendak Allah didahulukan, al-Quran dan as-Sunnah yang pastinya membawa kebenaran diutamakan! Kembalilah kepada Islam tulen, bukan Islam suku yang diajar UMNO.
RIJAL YANG DINANTI PASTI KEMBALI!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...